Sejarah penubuhan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bermula pada tahun 1904. Uniknya, UTM bermula dari sebuah sekolah teknik yang dikenali sebagai Sekolah Teknik Treacher di Weld Road, Kuala Lumpur yang mengambil sempena nama Sir William Treacher, Residen General Negeri-Negeri Melayu Bersekutu. Hasrat penubuhan sekolah ini pada awalnya adalah untuk melahirkan tenaga kerja dalam bidang teknikal iaitu Pembantu Teknik untuk berkhidmat di Jabatan Kerja Raya dan Jabatan Keretapi, Tanah Melayu. Pada tahun 1942 Sekolah Teknik Treacher telah dinaikkan taraf menjadi Maktab Teknik pada tahun 1951. Maktab ini telah dipindahkan di kawasan seluas 47 ekar di Jalan Gurney (kini Jalan Semarak), Kuala Lumpur. Pada 1 Mac 1955 Maktab Teknik yang baru dibuka secara rasmi oleh Pesuruhjaya Tinggi British, Sir Donald MacGillivray.
Apabila Tanah Melayu mencapai kemerdekaan, Maktab Teknik berperanan sebagai institusi pendidikan dan latihan tunggal negara dalam bidang profesional untuk mengisi jawatan di jabatan-jabatan kerajaan dan seterusnya membangunkan kemudahan infrastruktur negara. Khususnya dalam bidang teknologi dan kejuruteraan di peringkat Diploma.
Pada tahun 1960, Maktab Teknik membuka lembaran baru apabila menawarkan kursus di peringkat ijazah sarjana muda. Maktab Teknik terus mencipta sejarahnya yang tersendiri apabila dinaikkan taraf menjadi institut yang bertaraf universiti. Pada 14 Mac 1972, DYMM Seri Paduka Baginda Yang diPertua Agong telah mengistiharkan penubuhan Institut Teknologi Kebangsaan (ITK) dan En. Ainuddin Wahid telah dilantik sebagai Rektor pertama.
Oleh kerana keluasan kampus UTM di Jalan Semarak terhad, manakala permintaan terhadap tenaga kerja profesional dalam bidang sains dan teknologi terus meningkat kerajaan telah mengambil keputusan supaya kampus baru dibina di Skudai, Johor. Usaha awal pembinaan kampus di kawasan seluas 1,177 hektar bermula sejak 1978.




No comments:
Post a Comment